We are different


IFLAH

(Institut Pengurusan dan Latihan Halal UNITI)

Institut Pengurusan dan Latihan Halal UNITI

Keperluan mencari produk yang Halal merupakan saranan yang amat dititik beratkan oleh al-Quran dan al-Sunnah. Hal ini kerana ia dapat membantu perkembangan rohani dan jasmani yang baik.

Daripada Abu Hurairah r.a. dia berkata : ((Rasulullah S.A.W. telah bersabda : Sesungguhnya Allah Ta’ala itu baik, tidak menerima kecuali yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan orang beriman sebagaimana dia memerintahkan para rasul-Nya dengan firmannya : “Wahai Para Rasul makanlah yang baik-baik dan beramal salihlah” [Surah al-Mu’minun 23: 51]. Dan Dia berfirman : “Wahai orang-orang yang beriman makanlah yang baik-baik dari apa yang Kami rezekikan kepada kamu” ”[Surah al-Baqarah 2: 172]. Kemudian beliau menyebutkan ada seseorang melakukan perjalanan yang jauh dalam keadaan kusut masai dan berdebu, lalu menadahkan kedua tangannya ke langit seraya berkata : Wahai Tuhanku, Wahai Tuhanku, padahal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan keinginannya dipenuhi dari sesuatu yang haram, maka (jika begitu keadaannya) bagaimana doanya akan dikabulkan.)) Riwayat Muslim


LATAR BELAKANG IFLAH

Institut Pengurusan dan Latihan Halal (IFLAH) telah ditubuhkan secara rasminya pada 2 Januari 2013 bertempat di Kolej UNITI, Port Dickson. Penubuhan IFLAH adalah berperanan sebagai salah sebuah pusat kecemerlangan yang terdapat di Kolej UNITI bagi menguatkan lagi Program Diploma Pengurusan Industri Halal (DPIH) yang telah ditawarkan dan juga sebagai jambatan yang menghubungkan Kolej UNITI dengan institusi-institusi dan masyarakat di luar kolej.

Sebagai sebuah pusat kecemerlangan, IFLAH melalui penawaran kursus, seminar, khidmat nasihat dan perkhidmatan lain berhasrat menjadi salah satu institusi yang menyumbang dalam menjayakan hasrat negara menjadi Hab Halal Terbesar Dunia yang disegani menjelang 2020.


TAG LINE IFLAH

‘Halalan Toyyiba Merentas Semua’


VISI IFLAH

Memperkasa dan menjunjung konsep Halal melalui penawaran kursus, perundingan, khidmat nasihat dan perkhidmatan.


MISI IFLAH

Menjadi sebuah pusat kecemerlangan yang menawarkan kursus, perundingan, khidmat nasihat serta perkhidmatan yang berwibawa dan diiktiraf di peringkat nasional dan nusantara.

 


OBJEKTIF IFLAH

Objektif penubuhan IFLAH adalah memberi fokus kepada penawaran kursus, perundingan, khidmat nasihat dan juga perkhidmatan berkaitan Halal. Bagi mencapai objektif ini, IFLAH mempunyai dedikasi berikut:

  • Menjalankan kursus-kursus yang releven dan semasa berkaitan kesedaran, pengurusan dan perkhidmatan berkaitan isu-isu Halal .
  • Menyebarkan kepada masyarakat mengenai isu-isu terkini berkaitan Halal termasuk fatwa-fatwa semasa yang dikeluarkan oleh pihak berautoriti dan seumpamanya.
  • Melahirkan lebih ramai penggerak, pengusaha dan pengguna yang celik mengenai isu-isu Halal semasa.
  • Mempromosikan badan-badan atau institusi-institusi berkaitan Halal kepada golongan sasar.


PERKHIDMATAN YANG DITAWARKAN

Perkhidmatan yang  ditawarkan oleh IFLAH  dibahagikan kepada kategori berikut:

  • Kursus, seminar, bengkel dan seumpamanya.
  • Perundingan, khidmat nasihat, audit dalaman dan seumpamanya.
  • Perkhidmatan, seperti pelancongan dan seumpamanya.

 

Kursus

Antara kursus-kursus yang ditawarkan oleh pihak IFLAH ialah:

  • Sijil Profesional Halal
  • Sijil Eksekutif Halal
  • Kursus Kesedaran Halal
  • Kursus Penyembelihan Halal
  • Kursus Persijilan Halal
  • Kursus Latihan Pengendali Makanan (kursus WAJIB Kementerian Kesihatan Malaysia)
  • Lain-lain kursus yang dianggap releven dan berdasarkan permintaan semasa.

Melalui kursus-kursus ini para peserta akan didedahkan berkaitan isu-isu Halal semasa sama ada dari aspek syariah maupun aspek teknikal.  Mode kursus yang ditawarkan ini dijalankan dalam bentuk dalaman (In-House) dan juga terbuka (Public).Selain di atas, IFLAH juga menawarkan kursus-kursus lain yang berkaitan Halal berdasarkan permintaan dan juga kursus yang menjadi sokongan kepada keperluan pelaksanaan Sistem Pengurusan Halal seperti Kursus Latihan Pengendali Makanan.

Perundingan dan Khidmat Nasihat

IFLAH menawarkan khidmat nasihat kepada syarikat-syarikat pengeluar makanan, minuman dan perkhidmatan yang ingin mendapat persijilan Halal bagi produk keluaran.

mereka mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).  Termasuk dalam kategori ini, IFLAH juga menyediakan perkhidmatan audit dalaman dan pembangunan Sistem Pengurusan Jaminan halal bagi pihak yang memerlukan.

Perkhidmatan

Antara perkhidmatan yang menjadi keutamaan IFLAH ialah projek Pelancongan Halal, yang akan menekankan nilai-nilai pelancongan yang tidak bercanggah dengan kehendak syariah yang suci, termasuk tentatif dan juga makanan. Melalui projek ini, IFLAH berhasrat untuk mendedahkan kepada peserta amalan-amalan pelancongan yang diizinkan oleh syarak secara praktikal melalui penekanan Fiqh al-Safar (Fiqh Pelancongan) dan seumpamanya.


KERJA SAMA

IFLAH bersedia bekerjasama dan mengalu-aluka mana-mana badan atau institusi bagi menjayakan kempen-kempen kesedaran Halal atau seumpamanya di kalangan masyarakat dan juga badan korporat.

Buat masa sekarang sudah terdapat beberapa pihak yang bersedia menjalankan MoU dengan IFLAH dalam terdekat dan diharapkan bilangan semakin bertambah di masa hadapan.


PENUTUP

Isu Halal bukanlah isu sekelompok masyarakat Islam atau untuk produk makanan sahaja, malah ia merupakan isu seluruh umat Islam di dunia ini dan mencakupi pelbagai keperluan kehidupan, seperti makanan, perkhidmatan, perubatan dan sebagainya, sebagaimana ia juga merentas kehidupan manusia di dunia dan juga akhirat.

Follow Us @ www.facebook.com/kolej.uniti.pd or http://uniti.edu.my/hbng/


iHBNG

 

(Institut Helping Boys and Nurturing Girls)

Pengenalan
Isu ketidakseimbngan kecemerlangan antara pelajar lelaki dan perempuan tidak pernah berkesudahan. Setiap kali keputusan peperiksaan UPSR, PT3, SPM, isu ini hangat diperbincangankan oleh para akademik, politik hinggalah ke masyarakat awam. Namun saban tahun bilangan pelajar di IPT terus didominasi oleh pelajar perempuan. Kajian menunjukkan antara faktor penyumbangnya terdiri daripada guru, ibubapa, pelajar dan agensi.
kajian-kajian berdasarkan otak (brain-based research)  menunjukkan kanak-kanak lelaki dan perempuan mempunyai cara belajar yang  berbeza. Perbezaan ini memberi impak kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran guru, susunatur fizikal di dalam bilik kelas dan persekitarannya, pengurusan sekolah dan hubungan ibubapa. Kajian ini amat menyokong apa yang telah dirakamkan dalam al quran yang menyatakan perbezaan anak lelaki dan perempuan.
 “Maka apabila dia melahirkannya, berkatalah dia: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki) dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan dan bahawasanya aku telah menamakannya Mariam dan aku perlindungkan dia dengan peliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan) -Surah Ali Imran :36
Justeru itu kolej UNITI telah mengambil inisiatif yang serius untuk mengkaji bagi menghasilkan inovasi dalam pengajaran yang mengambilkira perbezaan gender ini. Hasrat tersebut telah direalisasikan dengan penubuhan Institut Helping Boys ang Nurturing Girls (i HBNG) pada tahun 2014.  Institut

Misi

  • Menyediakan latihan, bimbingan dan perundingan kepada ibubapa, guru-guru yang komited untuk membantu kanak-kanak lelaki dan perempuan supaya cemerlang dalam pembelajaran.
  • Merapatkan jurang perbezaan kejayaan antara anak lelaki dan perempuan.

Objektif

  • Meningkatkan penumpuan murid-murid lelaki di dalam kelas
  • Meningkatkan keberkesanan pengajaran guru
  • Menyediakan aktiviti menarik dalam pengajaran  literasi, sains dan matematik.
  • Menurunkan masalah kenakalan murid-murid lelaki
  • Memahami dan mengurus perkara berkaitan pencerobohan terhadap murid perempuan.
  • Membina kanak-kanak lelaki untuk memiliki sifat kepimpinan.

Produk
HBNG menawarkan program pelatihan dan perundingan kepada guru, ibubapa dan institusi seperti berikut:

  • Bengkel Pengajaran cepat membaca mengikut fitrah  anak lelaki dan perempuan.
  • Bengkel Pengajaran “ I Can Read” mengikut fitrah anak lelaki dan perempuan.
  • Bengkel Pengajaran sains mengikut fitrah anak lelaki dan perempuan.
  • Bengkel Pengajaran matematik mengikut fitrah anak lelaki dan perempuan.
  • Bengkel kaedah membina fokus murid lelaki di dalam bilik kelas.

Follow Us @ www.facebook.com/kolej.uniti.pd or http://uniti.edu.my/hbng/


SMART-I

Apa Itu Smart-i

Industri Kewangan Islam telah berkembang dengan pesatnya semenjak dunia menghadapi krisis kegawatan ekonomi pada tahun 2008. Malahan industri Kewangan Islam telah mencatat kadar pertumbuhan sebanyak 23.5% semasa kemuncak krisis ekonomi dan diperakui sebagai industri yang paling pesat membangun dengan kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak 20%.

Kini, Sistem Kewangan Islam ditawarkan di seluruh pelusuk dunia baik di negara-negara Islam mahupun di negara-negara bukan Islam. Memandangkan kadar pertumbuhan yang pesat, industri Kewangan Islam kini menghadapi satu masaalah yang runcing, di mana terdapat kekurangan tenaga pakar yang mahir dan berkebolehan untuk mengurus dan mengendali institusi-institusi Kewangan Islam.

Maka dengan itu, Kolej UNITI telah menubuhkan satu Pusat Kecemerlangan Kewangan Islam yang dikenali sebagai SMART-i, yang membawa bermaksud “Sharia Management, Advisory, Research and Training” Institute.

Dengan penubuhan SMART-i, Kolej UNITI mempunyai aspirasi untuk melahirkan graduan-graduan yang berkebolehan, berwibawa dan yang paling penting dapat menepati serta memenuhi kekurangan tenaga mahir di dalam industri Kewangan Islam.

Follow Us @ www.facebook.com/kolej.uniti.pd or http://uniti.edu.my/hbng/


Print